TOKOH BAHASA & PENTERJEMAH :
TAN SRI ZA'BA
|
Pendeta
Za'ba |
Za'ba
(Tan Sri, 1895-1973) ialah tokoh bahasa dan pemikir Melayu. Nama sebenarnya
ialah Zainal Abidin bin Ahmad. Dia lahir pada 16 September 1895 di Kampung
Bukit Kerdas, Jempol, batu Kikir, Negeri Sembilan. Ibunya Intan Awaluddin
berketurunan Minangkabau. Ayahnya yang berketurunan Bugis Linggi merupakan
orang yang berharta, berpengetahuan agama, dan satu-satunya penduduk di kampung
itu yang tahu membaca dan menulis Jawi.
Pendidikan awal Za'ba bermula di rumahnya sendiri,
termasuk pelajaran asas agama dan tulis-menulis (Jawi). Pada bulan Julai 1907,
Za'ba belajar di Sekolah Melayu di Batu Kikir dan kemudiannya dia bersekolah di
Linggi. Di samping meneruskan pendidikan sekolah Melayu pada waktu pagi, Za'ba
belajar agama dan nahu bahasa Arab di Masjid Linggi pada waktu petang daripada
Abas bin Zakaria, ulama terkenal di Negeri Sembilan. Za'ba muncul sebagai
pelajar sekolah Melayu terbaik dalam peperiksaan Darjah Lima, semasa di
Linggi.
Za'ba
juga menduduki peperiksaan untuk menjadi guru atau untuk memasuki sekolah
Inggeris seperti Maktab Melayu Kuala Kangsar, dan sekolah Inggeris di Seremban.
Dia muncul sebagai pelajar terbaik daripada 265 orang calon. Pada mulanya Za'ba
memilih untuk menjadi guru, tetapi akhirnya dia memilih memasuki sekolah
Inggeris, iaitu St. Paul's Institution, Seremban. Di
sini dia belajar selama enam tahun (1910-1915), sehingga memperoleh sijil
Senior Cambridge. Dia banyak menerima hadiah kerana kecemerlangan
pencapaiannya, dan akhirnya muncul sebagai anak Melayu Negeri Sembilan yang
pertama berjaya dalam peperiksaan tersebut.
Za'ba
ditawarkan bekerja sebagai guru sementara di
sekolahnya, dan selepas itu dia memasuki perkhidmatan perguruan di English
College, Johor Bharu (Jun 1916-September 1918). Dia pernah menjadi guru di
Maktab Melayu Kuala Kangsar (Oktober 1918-April 1923), dan pada peringkat inilah
Za'ba lulus peperiksaan ikhtisas perguruan (Normal Class, pada tahun 1921);
penterjemah di Pejabat Pengarah Sekolah-Sekolah
Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Kuala Lumpur (Mei
1923-Mac 1924), dan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim (April
1924-September 1939). Kemudian dia menjadi penterjemah
dan juruhebah di Pejabat Penerangan Singapura serta menjadi penyelenggara buku
pendidikan Melayu di Jabatan Pelajaran Singapura (Oktober 1939-Januari
1941).
Semasa pendudukan Jepun dia Tanah Melayu, Za'ba berkhidmat
sebagai ketua pengarang dan penterjemah berita Radio Jepun, serta
menyelenggarakan penerbitan buku bagi jabatan Pelajaran dan Agama, Bunkyo-ka
(Mac 1942-Julai 1945). Selepas perang dunia kedua tamat, Za'ba bertugas sebagai
penterjemah di Mahkamah Tinggi dalam Pentadbiran
Tentera British di Kuala Lumpur (September 1945-Julai 1946); kemudian
kembali ke jawatan lamanya sebagai penterjemah kanan bahasa Melayu dan pengarang
buku teks di Pejabat pelajaran, Kuala Lumpur (Ogos 1946-Ogos 1947); pensyarah Bahasa Melayu di School of Oriental and African
Studies (SOAS), Universiti London (September 1947-hingga bersara pada
September 1950). Pada tahun 1953, Za'ba menjadi pensyarah kanan merangkap Ketua Jabatan Pengajian Melayu yang
pertama di Universiti Malaya, Singapura (April 1953-Januari 1959). Semasa
di University of London, Za'ba memperoleh Sarjana Muda Sastera (1953).
Za'ba
muncul sebagai cendekiawan Melayu yang
dihormati sejak tahun 1920-an lagi. Sepanjang kerjayanya selama hampir 40 tahun,
Za'ba bergiat secara aktif dalam bidang penulisan dan berbagai-bagai kegiatan
sosial serta politik tanah air. Za'ba merupakan penulis
rencana dan esei yang berbakat istimewa dan gigih, sama ada dalam bahasa Melayu
atau bahasa Inggeris. Penulisannya yang begitu prolifik
mencakupi bidang bahasa, sastera, agama, pendidikan, ekonomi dan
politik.
Kegiatan penulisannya sentiasa dibendung oleh kerajaan kolonial British,
terutama sepanjang dia berada di MPSI. Walau bagaimanapun, dia tetap aktif dan
banyak tenaganya ditumpukan ke arah penerbitan buku sekolah dan buku bacaan umum
di Biro Penterjemahan (pejabat Karang Mengarang) MPSI, selain memberi perhatian
yang khusus dan lebih serius kepada usaha untuk memajukan bahasa
Melayu.
Beberapa buah buku penting tentang tatabahasa telah dihasilkannya yang
digunakan di maktab dan institusi pengajian pada masa itu, bagi mengisi
kekosongan yang wujud. Antara karyanya ialah Ilmu Bahasa Melayu (1926), Rahsia
Ejaan Jawi (1929), Pelita Mengarang, Ilmu Mengarang Melayu (1934), Daftar Ejaan
Melayu: Jawi-Rumi (1938), dan tiga jilid dalam siri Pelita bahasa Melayu (1940,
1946 dan 1949).
Dia juga terlibat secara aktif dalam gerakan pembaharuan Islam dan
menghasilkan beberapa buku tentang agama Islam. Antaranya ialah Falsafah Takdir
(1932), Pendapatan Perbahasan Ulama pada Kejadian Perbuatan dan Perusahaan Hamba
(1934), dan Asuhan Budi Menerusi Islam (1958). Buku kedua Za'ba itu telah
diharamkan pengedarannya di negeri Perak oleh pihak berkuasa pada zaman
tersebut.
Setelah Perang Dunia Kedua tamat, Za'ba bergiat aktif dalam pertubuhan
politik tanah air. Dia menjadi Yang Dipertua Persatuan Melayu Selangor (PMS)
menggantikan Tengku Ismail. Dia dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kongres Melayu Se-Malaya
yang berlangsung dari 1 hingga 4 Mac 1946, yang kemudian melahirkan
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Pada tahun
1956, Za'ba mengetuai satu lagi kongres yang penting bagi bangsa Melayu. Kali
ini ialah Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu
ketiga, dan pada akhir kongres ini Za'ba dianugerahi gelaran "Pendeta".
Ini dilakukan kerana mengenang jasanya yang tidak terhingga dalam bidang bahasa.
Walaupun penglibatannya dalam bidang-bidang lain tidak boleh diperkecil, tetapi
sumbangan dan tulisannya dalam bidang bahasa yang paling menonjol. Dalam
pendahuluan Pelita Bahasa Melayu Penggal I misalnya, dia mencatatkan
kegigihannya menerapkan nahu Arab dan Inggeris kepada bahasa Melayu. Dengan itu
dia menjadi sarjana Melayu yang pertama menghasilkan huraian tatabahasa Melayu
yang lengkap dan mendalam.
Atas segala khidmatnya Za'ba telah diberikan beberapa anugerah dan
ijazah kehormat, iaitu Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya
(1959), Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia
(1973), dan darjah Panglima Mangku Negara (P.M.N.) oleh Yang di-Pertuan Agong
yang membawa gelaran Tan Sri (1962).
Za'ba meninggal dunia pada 23 Oktober 1973 di Petaling
Jaya.
Sumber: Ensiklopedia sejarah dan Kebudayaan Melayu:
Jilid 4, R-Z, 1999.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, h. 2611-2612.